Wednesday 13 July 2011

Datang Lewat ke Kelas Design..hahahaha

“Cikgu, apa yang perlu kami bawa untuk kelas seni minggu hadapan?”
“Bagus! Pelajar proaktif”, sambil tersenyum cikgu memuji.
Bersinar-sinar mata si pelajar. Kembang kempis dadanya. Berazam untuk menjadi yang pertama bertanya untuk kelas-kelas seni seterusnya.
“Saya ingin berikan tugasan. Kamu semua perlu ke pekan sehari pada hari Ahad nanti. Ada apa-apa soalan lagi?”, tanya cikgu.
“Selain tugasan, apa yang perlu kami bawa untuk kelas seni?”, soal si pelajar yang kurang berpuas hati.
“Tidak perlu bawa apa-apa. Cukup sekadar memori di pekan sehari”,  cikgu menamatkan bicara.
Si pelajar tergaru-garu kepala yang tidak gatal.  “Entah apa pula idea cikgu pada kali ini. Suspen sungguh”, hati kecilnya bersuara.
Kelas Seni
“Baiklah, sebelum kita memulakan pembelajaran pada hari ini, elok cikgu bertanya terlebih dahulu. Apakah semua orang menyiapkan tugasan yang cikgu berikan?”.
Kelas sunyi sepi. Riak muka pelajar ditatapnya satu persatu. Pelbagai!
“Cikgu bertanya sekali lagi, apakah kamu semua menyiapkan tugasan yang diberikan?”. Nada cikgu tetap sama. Tidak berubah sedikit pun.
Seorang pelajar mengangkat tangan. Jelas wajahnya ketakutan.
“Saya tidak menyelesaikan tugasan cikgu”, jawabnya tersekat-sekat.
“Mengapa kamu tidak dapat menyelesaikannya?” soal cikgu.
“Saya terlajak tidur pada pagi Ahad selepas solat Subuh. Apabila terjaga, mak dan ayah sudah pulang dari pekan sehari. Bahkan, pekan sehari sudahpun tamat kerana telah menjelang tengahari”, si pelajar menerangkan situasi, bukan memberikan alasan untuk melarikan diri.

Pelajar-pelajar lain sakit perut menahan gelak. Terlajak tidur itu biasa!
“Ada idea? Apakah hukuman yang sewajarnya cikgu berikan kepada individu yang tidak menyiapkan tugasan?” suara cikgu dikuatkan sedikit.
“Ketuk ketampi!”
“Berdiri atas kerusi!”
“Berdiri luar kelas!”
“Terima kasih atas cadangan semua”, ujar cikgu kepada seisi kelas.
Cikgu menghampiri pelajar yang berdiri. Mata cikgu tepat memandang matanya. “Memandangkan kamu jujur membuat pengakuan, maka hukuman buat kamu terbatal. Lain kali jangan ulang lagi ya anak muda”, ucap guru itu khusus buatnya. Namun, cukup jelas didengar oleh pelajar-pelajar yang lain.
“Sekalipun dia tidak sempat untuk ke pekan sehari, dia masih boleh belajar pada hari ini. Pengalaman-pengalaman kamu semua akan menjadi gurunya. Baiklah, kita mulakan sesi pembelajaran seni sekarang”.

No comments:

Post a Comment